Halal satu kewajipan bagi kaum Muslimin
Halal adalah satu kewajipan buat kaum Muslimin.
Setiap yang dimakan akan menjadi darah daging.
Setiap daging yang tumbuh daripada perkara yang haram itu pula nescaya azab neraka baginya.
Jika dimakan yang haram dan syubhah, maka hatinya menjadi gelap.
Begitulah Islam mengajar kepada kita.
Firmah Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168,
"Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan..."
Dalam surah al-Baqarah ayat 172,
"Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu..."
Dalam surah al-Mukminun ayat 51,
"Wahai Rasul-Rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh..."
Lihatlah bagaimana perintah ini diberikan kepada sekalian manusia, orang beriman serta Rasul-Rasul.
Dan bukankah menarik untuk direnungkan apabila perintah memakan makanan yang baik ini didahulukan berbanding perintah mengerjakan amalan soleh?
Sesungguhnya menjaga makanan adalah sebahagian daripada urusan agama.
Dan hakikatnya ia tidaklah sesukar seperti yang dibayangkan.
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam al-Halal wa al-Haram berkata,"Lingkungan pengharaman dalam syariat Islam itu sangat sempit. Malah lingkungan penghalalannya pula sangat luas."
Tiada sijil halal bukan bermakna ia tidak halal. Tetapi sijil halal menjadi bukti keprihatinan peniaga. Pembeli juga bebas dari syubhah dan yakin untuk membeli.
Keyakinan pembeli ini terbina di atas kejelasan logo halal yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti.
Justeru, beruntunglah kita sebagai rakyat Malaysia kerana adanya SOP pensijilan halal yang memudahkan kita melaksanakan perintah agama.
No comments